Saturday, 12 November 2011

Tukang Sapu Jadi Presiden


Seorang bekas tukang sapu di stesen kereta api Victoria, London dipilih sebagai Presiden Zambia yang baharu. Berikrar mahu “menyapu Zambia menjadi lebih bersih”, Michael Sata yang menerajui parti Barisan Patriotik, mengangkat sumpah sebagai Presiden Zambia Khamis lalu setelah partinya memperoleh kemenangan tipis dalam pilihan raya baru-baru ini.


Berusia 74 tahun dan mempunyai lapan orang anak, Sata giat menentang pengaruh China yang semakin meluas di negara berkenaan. Zambia yang dikelilingi lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Tanzania, Malawi, Mozambique, Zimbabwe, Botswana, Namibia dan Angola adalah pengeluar tembaga terbesar di dunia selain kaya dengan galian lain.

Sata, 74, menuduh pemerintah terdahulu, Presiden Rupiah Banda yang mentadbir Zambia selama 20 tahun sebagai terlalu berlembut dalam menangani gejala rasuah. Tidak mahu mengulangi kesilapan sama, beliau berikrar akan berkongsi kekayaan hasil mineral negara itu dengan rakyat secara lebih adil dan telus.

“Zambia tidak boleh lagi mundur ke belakang. Kita semua mesti bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa,” katanya. Digelar Tedung Selar kerana ucapan berbisanya yang sukar ditepis pihak lawan, Sata lahir di Zambia ketika negara itu masih bergelar koloni British bernama Rhodesia Utara.

Pada tahun 1950-an, beliau berhijrah ke London sebelum diambil bekerja sebagai tukang sapu dan porter oleh syarikat kereta api Britain, British Rail. Sata kemudian belajar separuh masa untuk mengubah nasibnya. Beliau juga pernah bekerja di sebuah kilang pemasangan kereta di Britain sebelum kembali ke Zambia.

Sata kemudian menyertai pasukan polis negara itu. Semasa berkempen, Sata pernah bersumpah bahawa beliau tidak akan minum air minuman yang dibotolkan sehingga semua rakyat Zambia mendapat bekalan air bersih.

Walaupun kaya dengan pelbagai hasil Bumi, negara di selatan Afrika itu masih dikategorikan sebagai mundur.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 70 peratus daripada 13 juta rakyat Zambia hidup dalam kemiskinan dengan purata gaji tahunan di negara itu cuma £255 (RM1,250).

Sumber: http://karatijau.blogspot.com/2011/09/rezeki-tuhantukang-sapu-jadi-presiden.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...