Thursday, 1 December 2011

Artis Rap Tempatan Dibelasah 10 Lelaki Tidak Dikenali


KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi rap cedera di kepala dan badan selepas diserang 10 lelaki dipercayai samseng jalanan di Jalan Selangor, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan ke sebuah kedai bagi membeli barangan keperluan harian.

Menurut sumber, ketika tiba di jalan berkenaan, mangsa didatangi sekumpulan lelaki seramai 10 orang menaiki dua kereta dan tiga motosikal.

Sumber berkata, mangsa menyedari dikepung kumpulan samseng terbabit sebaik pintu keretanya ditendang dari luar.

Katanya, mangsa yang sibuk menyiapkan persiapan majlis resepsi perkahwinannya yang bakal berlangsung dua hari lagi keluar dari kereta dan bertanyakan punca tindakan mereka menendang pintu keretanya.


“Akibatnya, seorang daripada mereka merampas kunci kereta mangsa sebelum menyerang dan memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan batu, kayu dan batang besi.

“Mangsa yang tidak tahu punca diserang cuba mempertahankan dirinya, tetapi gagal kerana bersendirian ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan terbabit turut memecahkan cermin depan dan merosakkan pintu serta bumbung kereta Proton Iswara mangsa.

“Serangan itu menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka dan badan, malah mangsa memberitahu kumpulan lelaki itu berhenti menyerang selepas dia merayu beberapa kali,” katanya.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa yang juga seorang artis tempatan itu diserang individu tidak dikenali dan tindakan pantas anggota polis berdasarkan maklumat yang diterima, semua lelaki berusia 30-an ditahan di sekitar ibu kota.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...