Saturday, 3 December 2011

Bila Ajal Tiba, Waktu Memandu Kereta Pun Boleh Mati Juga

KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun menyangka bapanya tertidur ketika memandu sedangkan lelaki berkenaan sebenarnya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi Jalan Pedada, Taman Kota Jaya itu, Dina Alisa Lokman hanya mendiamkan diri apabila kepala bapanya, Lokman Ramlan, 42, tersandar pada tingkap sebelah pemandu sebelum Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berkenaan berhenti perlahan-lahan.

Dia juga masih terus mendiamkan diri apabila orang ramai datang membantu dan hanya menangis selepas pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan bapanya meninggal dunia.

Orang ramai menghubungi isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan wanita berkenaan tiba ditemani rakan sekerja sebelum ibu Lokman, Dinah Abu Bakar, 68, sampai bersama kakaknya, Zaleha Ramlan, 49.


AJAL...keadaan Lokman yang tidak bernyawa tersandar pada cermin pintu pemandu.
Gambar kecil, Lokman, sakit jantung

Menurut Zaleha, Lokman pernah bekerja di sebuah bank di daerah berkenaan sebelum meletak jawatan setahun lalu untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

“Lokman mengedar produk hasil pertanian kepada pekedai sekitar bandar ini. Dia tidak pernah mengadu sakit dan gigih bekerja,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HKT.

Menurut Zaleha, Dina yang juga anak kedua daripada empat beradik tidak faham dengan apa yang menimpa bapanya.

“Dina menyangka bapanya tertidur dan kerana itu dia mendiamkan diri sehinggalah menyedari bapanya sudah tiada lagi.

“Walaupun sedih, kami reda dengan kejadian dan menganggapnya sebagai takdir,” katanya.

Seorang lelaki yang enggan dikenali pula menyatakan Lokman serta Dina dilihat bersarapan di sebuah kedai berhampiran lokasi berkenaan sejam sebelum itu.

“Mangsa sempat membelikan aiskrim untuk anaknya sebelum mereka berlalu pergi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian.

“Setiba di Jalan Pedada, mangsa mendapat serangan jantung lalu memperlahankan kereta ke bahu jalan.

“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian Lokman akibat serangan jantung dan jenazahnya dituntut ahli keluarga,” katanya.

Jenazah Lokman dibawa pulang ke Kampung Bukit Lintang, Lukut, untuk dikebumikan. -hm

Ulasan GB

Sungguh mujur, kereta itu berhenti perlahan-lahan. Tidak membabitkan kemalangan.

Dan sungguh benar firman Allah:

"Apabila datang ajal mereka, ia tidak akan terawal walau sesaat dan tidak akan terlewat".

Ibnu Muthi pada suatu hari memandang ke rumahnya yang tersergam indah dan berasa kagum tetapi kemudian ia menangis. Beliau berkata: "Andai kata kematian itu tidak wujud pasti aku akan lebih mencintaimu dan gembira memilikimu. Andai kata kita tidak akan dimasukkan ke dalam lubang kubur yang sempit itu sudah tentu mata kita akan terpesona melihat harta dunia ini". Lalu beliau terus menangis.

Mengingati mati menyedarkan kita bahawa hidup ini amat singkat dan kita akan dihadapkan ke hadapan Allah dengan hanya berbekalkan amalan dan amal ibadat kita. Mati adalah jambatan yang menghubungkan kehidupan kita di dunia dengan kehidupan di akhirat. Saat kematian itulah yang menjadi penentu kita di akhirat kelak. Sekiranya amalan kita ketika di dunia ini baik maka kita akan menerima ganjaran yang baik di akhirat kelak. Dan demikianlah jika sebaliknya.

Oleh kerana itulah, tazkiratul maut atau mengingati mati ini menjadi salah satu cara dalam pendidikan Islam dan manhaj pembentukan peribadi.


Sumber: http://greenboc.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...