Thursday, 1 December 2011

Budak Diculik Selama 5 Jam Secara Tidak Sengaja

LEGA...ibu bapa kanak-kanak lima tahun lega selepas anak mereka ditemui semula.
LEGA...ibu bapa kanak-kanak lima tahun lega selepas anak mereka ditemui semula.
TAHAN...anggota polis (kiri) membawa dua daripada empat suspek yang   ditahan, semalam.
TAHAN...anggota polis (kiri) membawa dua daripada empat suspek yang ditahan, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menempuh detik hitam hampir lima jam apabila ‘diculik’ secara tidak sengaja oleh seorang lelaki yang melarikan kenderaan mewah jenis BMW milik bapanya, semalam.
Dalam kejadian di Jalan KIP 1, Desajaya, di sini kira-kira jam 9.30 pagi itu, kanak-kanak malang terbabit ditinggalkan bapanya berusia 37 tahun dalam kenderaan di bahu jalan seketika kerana mahu membeli makanan di sebuah restoran di kawasan berhampiran.

Difahamkan, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba meluru masuk ke dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjinnya itu ketika bapa mangsa baru meninggalkan kenderaan itu.
Menyedari kenderaan dan anak lelakinya dilarikan, bapa mangsa bergegas membuat laporan di Balai Polis Kepong, sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Desajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Menurut sumber, suspek yang melarikan kenderaan mewah itu dikatakan hanya menyedari ada seorang kanak-kanak lelaki di tempat duduk belakang selepas mangsa menangis ketakutan lima minit kemudian.
“Suspek bagaimanapun masih meneruskan niatnya melarikan kenderaan berkenaan tanpa menghiraukan tangisan kanak-kanak itu,” katanya.
Sumber berkata, sebaik laporan mengenai insiden itu diterima pihak berkuasa, usaha mengesan kanak-kanak terbabit giat dijalankan.
“Selain menghebahkan kejadian itu kepada semua unit peronda, beberapa sekatan jalan raya dilakukan bagi mengesan suspek di sekitar ibu negara,” katanya.
Usaha hampir lima jam itu membuahkan hasil apabila pihak berkuasa menerima maklumat mengatakan mangsa sedang di disembunyikan di sebuah hotel di Sri Damansara.
Sumber berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Sri Damansara yang dimaklumkan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan empat individu termasuk seorang wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 34 tahun, kira-kira jam 2 petang. “Ketika ditahan, pihak berkuasa turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Latio dipercayai milik kumpulan terbabit,” katanya.
Katanya, sebaik ditahan, seorang daripada suspek mengaku hanya berniat melarikan kenderaan mewah milik bapa mangsa tanpa menyedari terdapat kanak-kanak dalam kereta berkenaan.

“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran kawasan itu untuk soal siasat,” katanya yang turut memberitahu, pihak berkuasa sudah mengenal pasti lokasi kereta BMW milik mangsa disembunyikan.

Difahamkan, selepas merakamkan percakapan bapa mangsa, kanak-kanak malang itu kemudian diserahkan kembali kepada keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi, mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A kerana menculik daripada penjaga yang sah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...