Tuesday, 13 December 2011

Pokok Pisang Bersaiz Gergasi

Pokok pisang bersaiz gergasi
KUALA KETIL - Seorang pekebun di Kampung Belakang Malayawat dekat sini memiliki pokok pisang yang mencatat ketinggian luar biasa sehingga ada yang mencecah 10 meter.
Abu Hassan Jaafar, 56, berkata, pokok pisang yang ditanam 25 tahun lalu turut menghasilkan buah yang lebih besar iaitu mencecah sehingga 35 kilogram setandan.

Menurutnya, antara pokok pisang yang ditanamnya adalah jenis awak, emas dan nangka.

“Walaupun saya hanya menggunakan baja pokok, pokok pisang ini membesar dengan sempurna. Saiz batang pisang ini juga menyamai sebuah batang balak muda.

“Seorang peniaga goreng pisang pernah memberitahu saya dia boleh membelah sebiji buah pisang kepada lima. Ramai yang bertanya mengenai rahsia tanaman pisang ini, namun, saya tidak mempunyai sebarang rahsia kerana benih pisang dan cara penanamannya adalah biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, saiz pokok pisangnya yang besar ini kemungkinan disebabkan tanah kebunnya yang merupakan bekas tempat pembuatan arang.

“Pada 1969, kawasan ini merupakan kawasan pembuatan arang, jadi tanah ini sesuai untuk bertani.

“Bukan sekadar pisang, tetapi pokok lain antara pokok keladi telur turut mempunyai saiz yang besar berbanding keladi biasa,” katanya.

Menurutnya, walaupun pisangnya mendapat sambutan menggalakkan, dia tidak menjadikan tanaman pisang sebagai pekerjaan utamanya.

“Tanaman pisang ini adalah kerja sambilan saya. Saya mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilakukan.

“Sebagai pemimpin kampung, saya perlu mengutamakan keperluan masyarakat kampung,” katanya.

Abu Hassan berkata, kemungkinan dia akan memfokuskan kepada tanaman pisang ini selepas bersara sebagai seorang pemimpin.

“Sekiranya saya tidak mempunyai komitmen lain, saya akan memberikan fokus kepada tanaman pisang ini.

“Kemungkinan, saya akan mengeluarkan produk yang berasaskan pisang kerana itulah idaman saya dalam dunia pertanian ini,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat kepada pekebun baru yang ingin berkecimpung dalam tanaman pisang ini, Abu Hassan berkata, komunikasi dan hubungan pekebun dengan pegawai pertanian haruslah baik.

“Kita perlu rajin bertanya kepada pegawai pertanian kerana mereka turut mempunyai kelebihan tertentu dalam bidang bertani.

“Sekiranya kita mengikut nasihat selain pengalaman, kita akan berjaya dalam bidang pertanian,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...