Wednesday, 8 February 2012

Awas Jika Guna Kondom Di Afrika Selatan

SATU jenama kondom hampir sama digunakan dalam sambutan ulang tahun ANC
ANC tarik balik 1.35 juta alat elak penyakit kelamin kerana bocor ketika digunakan

JOHANNESBURG: Afrika Selatan mungkin perlu memastikan mutu kondom yang dijual di negara itu selepas menarik balik 1.35 juta kondom yang diberikan secara percuma pada sambutan ulang tahun ke 100 Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) kerana ada yang bocor ketika melakukan hubungan intim.

Ia bukan kali pertama perkara itu berlaku. Pada 2007, kerajaan menarik balik lebih 20 juta kondom yang rosak yang dikeluarkan dalam negara.


Media tempatan melaporkan, seorang pengurus ujian di biro penarafan dirasuah untuk mengesahkannya.


Pada 2008, 5 juta lagi kondom rosak turut ditarik balik.

Aktivis Aids, Sello Mokhalipi dari Kempen Tindakan Rawatan berkata, beliau mengadu selepas orang ramai tampil melaporkan bahawa kondom terbabit bocor ketika mereka berasmara.

Ada yang panik kerana sudah dijangkiti Aids dan bimbangkan mengenai pasangan mereka, katanya.

Jurucakap Jabu Mbalula dari Jabatan Kesihatan Free State yang mengedarkan kondom terbabit, sebelum sambutan ANC pada 6 hingga 8 Januari lalu berkata, mereka menarik balik semua kondom terbabit kira-kira 10 hari selepas itu.


Beliau berkata, tidak perlu panik tetapi tidak dapat memaklumkan berapa jumlah kondom yang digunakan atau ditarik balik.

Dakwaan terbaru membabitkan kondom diedarkan di hotel dan bar di tengah Bloemfontein ketika berpuluh ribu penduduk datang untuk perayaan ANC itu.

Afrika Selatan mempunyai 5.6 juta penghidap Aids.


Mokhalipi berkata, aduan berkenaan mula dibuat pada 11 Januari, memaksa pejabatnya mengendalikan ujian terhadap kondom yang didakwa rosak.

“Kami memasukkan air ke dalam kondom dan ia memang bocor,” katanya sambil menambah bahawa beliau juga boleh nampak ‘lubang kecil’ hanya dengan melihat melalui mata kasar.

Jabatan Kesihatan mengedarkan kondom baru minggu lalu, kata Mokhalipi yang tidak bocor selepas melalui ujian air.

Mbalula berkata, dengan mencurahkan air ke dalam kondom dan memberikan tekanan bukanlah satu ujian yang terbaik dan jabatannya menarik balik bahan itu untuk menjalankan ujian saintifik tetapi tidak tahu bila keputusan akan diperoleh.

Beliau menegaskan, semua kondom akan dicop untuk menentukan mereka dari kumpulan yang sudah menjalani ujian kualiti oleh biro penarafan yang bertanggungjawab memastikan ia memenuhi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jurucakap biro terbabit, Berna Schutte mengesahkan bahawa mereka menjalankan siasatan.
Mohkalipi berkata, penarikan itu terhad dengan pekerja jabatan ke hotel, rumah tumpangan dan bar di mana mereka menghantar kondom terbabit dan mengambil semula apa yang ada.

Beliau mengadu bahawa jabatan kesihatan tidak mengeluarkan sebarang amaran bagi memaklumkan kepada penduduk supaya tidak menggunakan kondom yang diedarkan ketika sambutan itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...