Thursday, 9 February 2012

Suami Kejam Seterika Muka Isteri Dan Gantung Isteri Di Kipas


KUALA LUMPUR: Sukar digambarkan azab yang dilalui seorang suri rumah apabila mukanya ditekap dengan seterika panas, dipukul lebih 15 minit, lehernya dijerut dengan selendang sebelum digantung di kipas oleh suaminya.

Kejadian berlaku jam 3 pagi kelmarin di rumah pasangan terbabit di Taman Miharja, Cheras di sini, apabila wanita berusia lewat 30 tahun itu mempersoalkan tindakan suami mahu menceraikannya. 

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila selendang yang digunakan untuk menjerut leher dan menggantungnya di kipas siling terputus, membolehkan dia menyelamatkan diri.


Menurut sumber, sebelum kejadian si suami memberitahu mahu menceraikannya dan menyebabkan mangsa bertanya mengapa mahu berbuat demikian.


“Bagaimanapun, tanpa diduga soalan itu menyebabkan suaminya berang lalu mengambil seterika panas dan menekap muka mangsa. Terkejut dengan tindakan suaminya, mangsa menangis dan meminta dikasihani.


“Namun rayuannya itu tidak diendahkan suspek yang dilaporkan menjadi lebih ganas dan memukul mangsa menggunakan tangan dan kakinya,” katanya.


Menurutnya, penderitaan mangsa tidak berakhir di situ apabila suspek yang bagaikan dirasuk syaitan mengambil selendang mangsa dan menjerut leher isterinya.


“Lebih kejam, suspek mengangkat mangsa dan menggantungnya di kipas siling di ruang tamu sebelum menghidupkan suis kipas dan menyaksikan isterinya terpakai-kapai meminta bantuan.

“Suspek meninggalkan ruang tamu buat sementara untuk ke bahagian lain di dalam rumah dan mujur ketika itu selendang yang menjerut leher mangsa terputus.


“Sebaik terselamat, mangsa berlari keluar dari rumahnya dan mendapatkan bantuan saudaranya yang tinggal berhampiran sebelum membuat laporan polis,” katanya.


Sumber berkata, mangsa dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, untuk rawatan berikutan mukanya yang melecur selain beberapa kecederaan lain di badan akibat dipukul.


Difahamkan, selepas sehari dimasukkan ke hospital berkenaan mangsa dibenarkan pulang jam 11.30 pagi, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dilakukan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...